CikguAdies@CikguSejarah

Blog ini didedikasikan kepada semua pelajar, guru, komuniti dan sesiapa sahaja yang inginkan kelainan dalam PdPc SEJARAH. Manfaatkan blog ini demi kecemerlangan bersama ...! CikguAdies Pencinta Sejarah@ GURU CEMERLANG SEJARAH KUALA LUMPUR.

Friday, December 25, 2009

PANITIA MATA PELAJARAN

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1986
Panitia Mata Pelajaran

Dalam menjalankan kerja-kerja penyeliaan sekolah-sekolah oleh Jemaah Nazir Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, salah satu perkara yang hendak diselia adalah tentang kewujudan dan keberkesanan panitia mata pelajaran di sekolah-sekolah. Adalah didapati bahawa ada sekolah-sekolah yang telah menubuhkan panitia mata pelajaran dan dapat berfungsi dengan baik dan ada pula sebaliknya. Walau bagaimanapun, sama ada panitia mata pelajaran itu berfungsi atau tidak, Kementerian Pelajaran difahamkan bahawa pihak-pihak yang telah membuat penyeliaan ini telah ditanya oleh pihak sekolah, atas dasar atau arahan manakah, panitia mata pelajaran ini perlu ditubuhkan.

2. Oleh yang demikian, surat pekeliling ini dikeluarkan dengan tujuan untuk memberitahu pihak sekolah tentang perlunya penubuhan panitia mata pelajaran, supaya dengan ini, perhubungan dua hala di antara pihak sekolah dengan pihak-pihak yang membuat penyeliaan dapat diadakan dengan lebih berkesan lagi.

3. Berikut adalah panduan mengenai panitia mata pelajaran dan pihak sekolah adalah dikehendaki menubuh atau memperkemaskan panitia mata pelajaran supaya keberkesanan pengajaran-pengajaran di sekolah dapat ditingkatkan

3.1 Latarbelakang
Kebanyakan para pelajar dalam pembelajaran dan motivasi serta minat mereka
terhadap sesuatu mata pelajaran yang dipelajari mempunyai hubungan rapat dengan
kebolehan dan kekesanan guru yang mengajar. Guru tidak ragu-ragu lagi mempunyai
peranan yang penting dalam menentukan sama ada matlamat pencapaian akademik
para pelajar di sekolah tercapai atau tidak.

Menyedari hakikat ini, maka adalah wajar bagi guru yang terlibat atau mengajar
sesuatu mata pelajaran yang sama, menggembelingkan tenaga mereka dan
menyelaraskan aktiviti-aktiviti dan / atau tugas-tugas mengajar sebagai pendidik.
Mereka juga harus mempunyai semangat bekerjasama, saling membantu dan
berkongsi fikiran, pengalaman serta kepakaran untuk memperbaiki lagi kecekepan dan
kekesanan mereka. Dengan demikian, guru yang mengajar sesuatu mata pelajaran
berpeluang untuk bekerjasama dan menyelaraskan usaha mereka dengan lebih
terkelola dan bersepadu. Dengan wujudnya badan ikhtisas seumpama ini, guru
yang menganggotainya juga berpeluang untuk mencari penyelesaian kepada
masalah-masalah bukan sahaja dalam bidang pengajaran, bahkan juga masalah
yang berhubung dengan motivasi, sikap dan tabiat belajar pelajar.

3.2 Struktur dan Organisasi
3.2.1 Panitia mata pelajaran adalah sebuah badan ikhtisas yang dianggotai oleh
semua guru yang mengajar mata pelajaran yang sama di sesebuah sekolah.
(Sekolah-sekolah kecil yang bilangan gurunya sedikit adalah difikirkan tidak
perlu menubuh pelbagai panitia mata pelajaran.)

3.2.3 Badan ini hendaklah dipimpin dan dikendalikan oleh seorang guru kanan yang
dilantik sebagai Ketua Panitia oleh Guru Besar atau Pengetua Sekolah

3.2.3 Semua ketua panitia mata pelajaran adalah secara otomatis menjadi ahli
Jawatankuasa Kurikulum Sekolah. Mereka ini mewakili panitia mata pelajaran
masing-masing di dalam jawatankuasa tersebut dan menjadi penghubung
di antara ahli panitia dengan Guru Besar atau Pengetua Sekolah.

3.2.4 Keputusan-keputusan yang diambil oleh tiap-tiap panitia di dalam
perjumpaan-perjumpaan berhubung dengan isu-isu atau masalah-masalah
kurikulum dan pengajaran perlu dibawa oleh ketua panitia kepada Guru Besar
atau Pengetua atau Penolong Kanannya, sama ada untuk untuk mendapat
penyelesaian atau untuk makluman

3.2.5 Di sekolah-sekolah di mana Jawatankuasa Kurikulum Sekolah belum ditubuhkan,
ketua panitia masih memainkan peranan penting untuk berhubung dengan Guru
Besar atau Pengetua bagi membentangkan masalah-masalah atau isu-isu yang
sedang dihadapi dan mengesyorkan segala cadangan atau permintaan ahli-ahli
panitia berhubung dengan keperluan pengajaran dan pembelajaran.

3.3 Tujuan Panitia Mata Pelajaran
Berikut adalah di antara beberapa tujuan yang dikenalpasti untuk panitia mata
pelajaran:

3.3.1 Memperbaiki dan meningkatkan mutu dan kekesanan pengajaran dan
pembelajaran

3.3.2 Berikhtiar dan berusaha untuk mendapatkan strategi-strategi mengajar yang
inovatif dan boleh mendorong serta menggerakkan kecenderungan para pelajar
terhadap pembelajaran

3.3.3 Memperbaiki prestasi pelajar di dalam peperiksaan (berasaskan sekolah dan
awam) dalam mata pelajaran berkenaan berpandukan atau berasaskan kepada
prestasi / target yang ditunjukkan dalam rancangan akademik sekolah.

3.3.4 Mewujudkan semangat kerjasama di antara mata pelajaran dengan persatuan
kelab akademik

3.4 Peranan Panitia
Berikut adalah di antara perkara yang dianggap perlu dilaksanakan oleh panitia, sejajar
dengan peranannya sebagai sebuah badan ikhtisas.

3.4.1 Memperolehi sukatan pelajaran yang terbaru atau kemaskini untuk kegunaan
ahli-ahli panitia;

3.4.2 Menyediakan rancangan mengajar untuk ketiga-tiga penggal dalam tahun
persekolahan. Rancangan mengajar ini diselaraskan di antara guru dalam
sesuatu tingkatan/darjah dan juga di antara tingkatan/darjah di mana ada kaitan;

3.4.3 Memilih dan mencadangkan kepada pentadbir sekolah buku teks untuk
digunakan oleh pelajar berdasarkan kesesuaian buku itu dari segi kehendak
sukatan pelajaran dan tahap kebolehan mereka.

3.4.4 Memilih dan mencadangkan buku rujukan atau bahan bacaan tambahan yang
sesuai dengan keperluan pembelajaran para pelajar dan kegunaan guru untuk
dibekalkan di pusat sumber sekolah;

3.4.5 Menyelaraskan soalan-soalan ujian dan peperiksaan (berasaskan sekolah ) yang
disediakan bagi tiap-tiap tingkatan atau darjah dan jika perlu, menubuhkan bank
soalan;

3.4.6 Mengkaji dan menganalisa keputusan peperiksaan pelajar dalam tiap-tiap
peperiksaan sekolah (khususnya peperiksaan pertengahan dan akhir tahun) dan
mengambil langkah-langkah untuk mengatasi kelemahan-kelemahan pengajaran
dan pembelajaran;

3.4.7 Mengadakan mesyauarat panitia secara berkala sekurang-kurangnya sekali
sepenggal dan mengadakan perjumpaan secara 'ad-hoc' bila dan jika perlu;

3.4.8 Mengatur perjumpaan atau mesyuarat dengan ahli-ahli panitia (secara froamal
atau tidak formal) untuk memikir dan membincangkan masalah-masalah atau
isu-isu yang berkaitan seperti masalah-masalah yang berhubung dengan kaedah
mengajar serta mencari penyelesaian kepada masalah atau isu tersebut;

3.4.9 Bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan baru yang diperolehi setelah
mengikuti kursus atau seminar dengan ahli-ahli lain;

3.4.10 Mewujudkan semangat saling bekerjasama dengan persatuan di sekolah dan
menjalin hubungan kerja yang boleh membantu bagi mencapai matlamat
pengajaran dan pembelajaran;

3.4.11 Bekerjasama dan bertukar-tukar fikiran, pengalaman dan kepakaran dengan
panitia-panitia di sekolah-sekolah berhampiran atau sekawasan;

3.4.12 Bekerjsama dengan lain-lain panitia dan membantunya dalam usaha ke arah
memajukan pelajar yang lemah dalam mata-mata pelajaran tertentu;

3.4.13 Melantik seorang setiausaha dari kalangan ahli untuk menyediakan minit
mesyuarat dan mengedarkan minit itu kepada semua ahli panitia;

3.4.14 Menyelenggarakan fail-fail panitia dan semua minit atau laporan mesyuarat, surat menyurat dan rekod-rekod yang berkenaan.


Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home