CikguAdies@CikguSejarah

Blog ini didedikasikan kepada semua pelajar, guru, komuniti dan sesiapa sahaja yang inginkan kelainan dalam PdPc SEJARAH. Manfaatkan blog ini demi kecemerlangan bersama ...! CikguAdies Pencinta Sejarah@ GURU CEMERLANG SEJARAH KUALA LUMPUR.

Friday, August 15, 2008

Kaedah Penggunaan Buku Teks Yang Berkesan

1. Latar Pengenalan

Tumpuan kertas kerja ini membincangkan kaedah penggunaan buku teks yang berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah yang dapat meningkatkan minat dan penglibatan murid lemah secara individu.

Perbincangan secara umum difokuskan kepada aspek yang berkaitan dengan konsep umum buku teks, kebaikan buku teks sebagai bahan pembelajaran untuk murid lemah dan jenis aktiviti yang digunakan.

Salah satu aspek penting yang dipertimbangkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah cara atau kaedah yang sesuai dan berkesan bagi membantu murid lemah dalam pembelajaran. Seseorang guru Sejarah bertanggungjawab memastikan murid lemah memahami dan menguasai pelajaran Sejarah pada peringkat keupayaan dan kebolehan yang mereka miliki.

2. Kaitan Buku Teks Dengan Pembelajaran Murid Lemah

Buku teks Sejarah dalam konteks ini merupakan salah satu media cetak yang terpenting digunakan sebagai bahan pembelajaran yang digunakan oleh murid di sekolah menengah atas (SMA) iaitu murid Tingkatan IV dan Tingkatan V. Buku teks ditulis berdasarkan Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah KBSM yang baru dan diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Buku teks Sejarah mengekalkan Kesepaduan unsur pengetahuan sejarah, pemupukan nilai-nilai murni, patriotisme dan kemahiran belajar.

Buku teks Sejarah Tingkatan 4 mengandungi 10 bab yang merangkumi 3 tema iaitu tema 7 (Tamadun Awal Manusia), tema 8 (Tamadun Islam dan Perkembangannya) dan tema 9 (Perkembangan Di Eropah dan Kesannya Terhadap Ekonomi Negara)

Buku teks Sejarah Tingkatan 5 mengandungi 9 bab yang merangkumi tiga tema iaitu tema 10 (Kemunculan dan Perkembangan Nasionalisme Sehingga Perang Dunia Kedua), tema 11 (Pembinaan Negara dan Bangsa Ke Arah Kemunculan Negara Malaysia Berdaulat) dan tema 12 (Malaysia dan Kerjasama Masyarakat Antarabangsa)

Murid lemah ialah golongan yang mempunyai kurang keupayaan dalam aspek mental, fizikal dan emosi pada tahap tertentu berbanding murid normal yang berada pada tahap purata perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor mereka. Hal ini menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk mengikuti pelajaran dengan berkesan dan menghadapi kesukaran untuk memahami pelajaran yang disampaikan oleh guru. Justeru, buku teks mempunyai pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap kecerdasan pelajar.

3. Kelebihan Buku Teks Sejarah

Mempunyai peta konsep sebagai garis kasar isi pelajaran yang boleh digunakan oleh guru dalam perancangan pelajaran.

Meringkas dan merumuskan sejumlah maklumat penting yang berkaitan dengan sesuatu bidang.

Membolehkan murid memperoleh bahan khusus dalam bentuk yang telah disatukan.

Menyediakan sumber maklumat yang seragam untuk semua murid.

Memberi idea kepada guru tentang organisasi maklumat dan aktiviti yang dapat dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Menyertakan gambar, graf, peta dan bahan-bahan ilustrasi yang memudahkan pemahaman murid.

Menyertakan lain-lain bahan pengajaran seperti ringkasan, latihan dan soalan terancang.

Meringankan beban guru dalam menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran.

4. Penggunaan Buku Teks Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Satu aspek yang dipertimbangkan dalam penggunaan buku teks yang berkesan dalam pembelajaran murid lemah ialah tahap kebolehbacaan. Murid lemah sukar memahami istilah yang sukar, abstrak dan di luar pengalaman mereka.

Seseorang guru Sejarah harus bijak memilih bahan yang sesuai dalam buku teks untuk murid lemah dan seterusnya dapat digunakan dengan berkesan bagi meningkatkan kefahaman murid terhadap perkara yang dipelajari. Guru Sejarah perlu memilih isi yang penting, menggunakan bahasa dan ayat yang mudah difahami ketika menerangkan dan menguji tahap kefahaman murid melalui lembaran kerja yang disediakan. Buku teks dan lembaran kerja ini boleh digunakan di dalam dan di luar bilik darjah

Guru Sejarah perlu mendidik murid cara menyusun maklumat dan berfikir secara sistematis dalam mengisi petak lembaran kerja yang disediakan. Melalui lembaran kerja yang disediakan murid dapat mencari dan mengingat maklumat penting daripada buku teks dengan mudah. Buku teks Sejarah boleh digunakan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran sama ada permulaan, pertengahan atau pada akhir pembelajaran.

5. Teknik Penggunaan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Di Sekolah

Bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung dalam bilik darjah berkesan, guru wajar menitikberatkan perkara berikut:

· Peta konsep

· Kemahiran berfikir kritis dan kreatif

· Kecerdasan pelbagai

· Unsur dan nilai patriotisme

· Kemahiran teknologi komunikasi maklumat

· Penggunaan bahan grafik

· Maklumat tambahan

· Pelbagai aktiviti pembelajaran yang kreatif dan inovtif

· Latihan-latihan

Pada peringkat awal P&P guru wajar memberi gambaran keseluruhan (Big Picture) mengenai bab yang akan diajar dengan berpandukan peta konsep yang terdapat pada awal bab buku teks. (Rujuk buku teks sejarah ms 1, ms 37, ms 71)

Guru seterusnya melaksanakan pengajaran dan pembelajaran menggunakan pedagogi yang sesuai berasaskan buku teks. Bahan-bahan grafik seperti gambar, peta, carta, jadual dan gambarajah perlu digunakan secara maksimum di dalam pengajaran dan pembelajaran guru bagi menarik minat dan tumpuan murid. Gerak kerja yang bersesuaian dengan pedagogi yang digunakan boleh dilaksanakan bersama. Guru boleh membuat rumusan dengan pelbagai cara berpandukan buku teks.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home