CikguAdies@CikguSejarah

Blog ini didedikasikan kepada semua pelajar, guru, komuniti dan sesiapa sahaja yang inginkan kelainan dalam PdPc SEJARAH. Manfaatkan blog ini demi kecemerlangan bersama ...! CikguAdies Pencinta Sejarah@ GURU CEMERLANG SEJARAH KUALA LUMPUR.

Friday, August 15, 2008

Strategi Berkesan Belajar Sejarah

Membaca untuk memahami dan mengingati isi kandungan dan fakta buku teks Sejarah Tingkatan III merupakan cabaran utama kepada guru dan calon PMR. Guru dan calon PMR perlu memahami tiga perkara berikut sebelum membuat pembacaan dan mengulangkaji pelajaran iaitu:

1.1. Objektif terpilih bagi setiap bab (bagi membolehkan guru menggunakan buku teks secara maksimum)

1.2. Struktur buku teks yang dibahagikan kepada (pengenalan, pembahagian bab, objektif pembelajaran bab, peta konsep, teks teras, Pustaka Ilmu, takrif kata, grafik, klik net, uji minda dan ujian dan penilaian)

1.3. Strategi penggunaan buku teks Tingkatan III (guru sewajarnya menggunakan Buku Panduan Guru yang disediakan agar pengajaran lebih berkesan. Di samping itu guru perlu memahami ilmu Bantu dalam Sejarah seperti Kemahiran Pemikiran Sejarah, aplikasi ICT dalam pendidikan dan teknik ‘belajar cara belajar’ bagi membantu calon PMR menguasai kandungan buku teks).

Bagi membantu calon PMR menggunakan buku teks ini pula, penulis berusaha menghidangkan kaedah yang sudah dikaji dan diuji berkesan kepada calon. Kaedah yang digunakan ialah kaedah SQ3R : Tinjau, Tanya, Baca, Panggil Kembali dan Lihat Semula.


Kaedah SQ3R : Tinjau, Tanya, Baca, Panggil Kembali dan Lihat Semula.

Tinjau
Prinsip pertama tinjau adalah langkah untuk calon mendapat gambaran keseluruhan apa yang hendak dikaji dengan terperinci. Tinjauan buku boleh dibuat dengan cara:

a) membaca mukadimah (preface) buku teks. Dengan membaca ‘preface’ atau pengenalan calon akan tahu susunan buku, tujuan buku ditulis dan calon tahu persediaan yang diperlukan untuk mengulangkaji buku ini

b) calon kemudian mengkahi jadual isi kandungan buku teks ini secara kasar. Ulangi kajian ini dari masa ke semasa kerana tajuk-tajuk itu sangat bermakna dalam peperiksaan

c) baca tajuk-tajuk kecil dan rumusan dalam bab itu

Calon PMR dapat memahami buku ini ditulis mengikut Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah SMR. Tingkatan III. Susunan bab dan tajuk mengikut tema 5 dan 6.

Tema 5 : Perjuangan Rakyat ke Arah Kemerdekaan Tanah Air

Tema 6 : Pembentukan Persekutuan Malaysia

Tema 5 dan 6 ini pula dibahagikan kepada 7 bab iaitu:

Bab 1 : Pendudukan Jepun di Tanah Melayu

Bab 2 : Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu

Bab 3 : Ancaman Parti Komunis Malaya dan Darurat

Bab 4 : Kerjasama Antara kaum Ke Arah Kemerdekaan

Bab 5 : Kemerdekaan Negara 31 Ogos 1957

Bab 6 : Perubahan Pentadbiran ke Arah Berkerajaan Sendiri di Sarawak dan Sabah

Bab 7: Malaysia yang Berdaulat


Peta Konsep – merupakan intipati bagi setiap bab bagi memberikan gambaran yang menyeluruh

Teks Teras – setiap bab mempunyai topik dan subtopik yang mengandungi huraian bagi tajuk bab itu

Pustaka Ilmu – murid dan guru boleh merujuk maklumat tambahan untuk menambah ilmu pengetahuan

Takrif Kata – menjelaskan sesuatu konsep atau istilah yang kurang difahami oleh calon

Grafik – terdapat gambar, foto, jadual, carta masa, rajah, logo, peta dan statistik untuk menjelaskan kandungan

Klik Net – ICT merujuk laman web yang memberi penerangan lanjut kepada guru dan murid untuk melayarinya secara penerokaan

Uji Minda – membantu guru dan murid mengingati fakta asas sebelum berpindah bab
Ujian dan Penilaian – membantu menilai sejauhmana guru dan murid memahami kandungan keseluruhan bab itu.

Tanya


Kebanyakan perkara yang paling diingati dalam dunia ini ialah jawapan daripada pertanyaan. Ramai calon lebih mengingati jawapan daripada apa yang mereka tanya daripada apa yang mereka pelajari. Soalan menyebabkan calon berfikir. Secara amnya soalan yang perlu dikemukakan oleh calon ialah:

Apa ? = Peristiwa Sejarah

Siapa ? = Tokoh dalam Sejarah

Bila ? = Pertarikhan dalam Sejarah

Di mana ? = Lokasi atau tempat kejadian

Mengapa ? = Peyebaban dalam Sejarah

Bagaimana ? = Kronologi dalam Sejarah

Jawapan kepada siapa, apa bila dan mana memberi jawapan kepada fakta sejarah. Pertanyaan begini mesti dibiasakan semasa membaca.


Membaca

Apabila membaca, baca semuanya. Ini termasuklah graf, jadual, gambar, carta, illustrasi dan sebagainya. Semua calon mesti berusaha untuk memahaminya semasa proses membaca.

Panggil Kembali

Semasa membaca teks tersebut, calon mesti memanggil kembali secara lisan ataupun menulis fakta di atas kertas. Tujuannya ia memberitahu calon apa yang dia belum ingat dan fakta yang sudah diingat.

Lihat Semula

Lihat semula ialah proses untuk mengetahui dan mengesahkan apa yang calon telah baca dan memahaminya. Calon perlu membaca dengan pantas dan pastikan tidak ada bahan yang tertinggal dari bacaan.

Teknik Mengenalpasti Kandungan Buku Teks Berdasarkan Kehendak Soalan PMR


Dalam rencana ini calon PMR diberi pendedahan tentang fokus soalan sejarah PMR. Membaca dan menghafal fakta sahaja tidak mencukupi untuk menguasai kemahiran Sejarah. Calon perlu membiasakan diri dengan kehendak soalan dalam kertas Sejarah PMR. Calon PMR perlu mengetahui jenis dan stail soalan yang sering dikemukakan dalam peperiksaan. Calon PMR perlu rajin membaca buku teks dan mengulangkaji soalan kandungan buku teks berdasarkan aspek-aspek berikut:


Fokus Kandungan Buku Teks Dalam Setiap Bab

1. Konsep / istilah sejarah
2. Sebab / faktor peristiwa sejarah / tujuan
3. Kesan peristiwa sejarah
3. Kronologi / urutan peristiwa
4. Tokoh dalam sejarah
5. Perjanjian penting dalam sejarah
6. Organisasi / pertubuhan/ parti politik /institusi/tempatan, serantau dan antarabangsa
7. Ikhtibar / nilai murni peristiwa sejarah

Buku Teks Sejarah Tingkatan III memberi penekanan kepada aspek pengetahuan sejarah, kemahiran sejarah dan nilai dalam sejarah. Pengetahuan sejarah amat penting untuk menjawab soalan sejarah. Calon PMR perlu memahami sesuatu idea sejarah dan berusaha untuk menguasainya. Bagi menguji kemahiran calon menggunakan fakta sejarah, peta, gambar rajah, rajah, peribahasa, puisi, pernyataan, senarai, petikan, jadual, maklumat dan sebagainya turut disertakan.


( 1 ) Mengenalpasti Definisi, Makna dan Istilah

Calon PMR perlu memahami konsep dan istilah penting dalam pelajaran Sejarah. Jika calon tidak memahami istilah yang digunakan pengarang, maka calon sukar memahami isi kandungan keseluruhan bab itu. Terdapat pelbagai cara untuk mengetahui istilah sejarah dalam buku ini. Misalnya sesuatu istilah atau konsep itu dicetak secara bold atau dicondongkan.


Contohnya takrif kata ‘feudal’, ‘imperialis’ (hlm : 87), ‘kader’, ‘kegiatan PKM’ (hlm : 88), ‘Baju Hijau’, ‘Home Guard’, ‘Special Constable’ (hlm : 93), ‘Min Yuen’, ‘Rancangan Briggs’, ‘Kampung Baru’, (hlm : 94), ‘Gerakan Kelaparan’, (hlm : 95), ‘Perang Saraf’ (hlm : 98), ‘Kawasan Hitam’, ‘Kawasan Putih’, ‘Perintah Berkurung’ (hlm : 100), ‘Pertemuan Baling’, (hlm : 104), dan ‘Community Liaison Committee’ (CLC) . Rujuk takrif kata yang disediakan. Calon lebih menguasai isi kandungan buku teks jika lebih berusaha mengenalpasti istilah atau konsep yang digunakan di dalam buku teks.

Sejarah mengandungi banyak idea dan konsep yang perlu dikuasai. Konsep amat penting untuk membantu calon PMR menggambarkan peristiwa sejarah. Konsep terbentuk daripada perkataan atau idea yang perlu dijelaskan dengan contoh yang sesuai. Calon PMR perlu memahami sesuatu makna atau maksud perkataan tertentu untuk memahami sesuatu konsep Sejarah. Fakta Sejarah mempunyai kaitan dengan konsep kerana fakta merupakan maklumat yang membantu menghuraikan sesuatu konsep. Pentafsiran yang tidak tepat terhadap fakta atau pemahaman yang terpesong terhadap sesuatu konsep sejarah menyebabkan calon memilih pilihan jawapan yang tidak tepat.

( 2 ) Mengenalpasti Sumbangan atau Peranan Tokoh

Calon PMR perlu mengulangkaji biografi tokoh penting tanahair. Terdapat banyak soalan mengenai tokoh sejarah yang dikemukakan dalam Kertas Sejarah PMR. Kajian tentang tokoh amat penting dalam Sejarah. Ini kerana manusia merupakan isu utama dalam pergolakan Sejarah. Oleh sebab itu calon PMR perlu didedahkan dengan maklumat tokoh penting yang menceritakan tentang kepimpinan dan ketokohan mereka yang ditonjolkan dalam pelajaran Sejarah. Kajian tokoh sangat penting untuk menghargai perjuangan dan pengorbanan mereka pada masa lampau. Misalnya Sir Harold Briggs, Sir Gerald Templer, Sir Edward Gent, Sir Henry Gurney, Dato’ Onn bin Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak bin Hussein, Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad dan lain-lain.

Soalan tokoh berfokus kepada kejayaan dan sumbangan utama tokoh kepada negara kita. Jika seseorang tokoh mempunyai terlalu banyak sumbangan, lihat sumbangannya yang paling besar kepada negara kita. Baca serba sedikit butir penting latar belakang, pendidikan dan teliti gambar foto atau illustrasi mereka (jika ada) untuk memudahkan kita membuat pengecaman. Buat pengelompokan, pengelasan dan penzamanan setiap tokoh. Lihat persamaan dan perbezaan corak perjuangan mereka pada setiap zaman.

( 3 ) Mengenalpasti Penyebaban atau Kesan Peristiwa Sejarah

Sejarah tidak boleh dipisahkan dengan sebab (penyebaban) dan akibat (kesan) sesuatu peristiwa. Sejarah merujuk kepada tanggapan umum seperti sebab yang mendorong penyebaran agama Islam dalam Kerajaan Melayu Melaka dan kesannya. Satu cara yang mudah untuk memahami aspek ini ialah melalui peta konsep.

Calon perlu memilih sesuatu tajuk pelajaran Sejarah seperti sebab, faktor, kesan dan implikasi sesuatu peristiwa Sejarah. Pemetaan konsep memberi gambaran menyeluruh dan menunjukkan pertalian antara satu fakta dengan fakta yang lain. Contohnya sebab pengisytiharan darurat dan kesannya. sebab pembentukan Persekutuan 1896 dan kesannya. Calon perlu mengenalpasti semua faktor tersebut.

( 4 ) Mengenalpasti Pertubuhan Politik dan Bukan Politik

Terdapat soalan mengenai organisasi setempat seperti Parti Komunis Malaya (PKM), MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) Force 136 (MPAJA), Malayan Races Liberation Army (MRLA), AWAS, PETA, PERAM, PKMM, Malayan Chinese Association (MCA), UMNO dan sebagainya. Calon perlu memahami latar belakang penubuhan, sebab penubuhan, tokoh yang terlibat, matlamat penubuhan, sumbangan dan impaknya kepada sejarah negara.

( 5 ) Mengenalpasti Perjanjian Penting Dalam Sejarah.

Terdapat banyak perjanjian penting yang memberikan kesan kepada perkembangan sejarah, politik, ekonomi dan sosial negara kita. Setiap perjanjian mempunyai sebab mengapa ia dimetrikan. Setiap perjanjian juga mempunyai syarat yang berbeza dengan perjanjian lain. Jika perjanjian tersebut memberi kesan yang besar kepada sejarah tanahair maka lebih kerap pula disoal dalam peperiksaan. Apabila seseorang calon mengulangkaji sesuatu perjanjian, pastikan calon meneliti

a) Tahun perjanjian itu ditandatangani
b) Sebab ia ditandatangani
c) Pihak yang menandatangani perjanjian itu
d) Syarat penting atau isi penting sesuatu perjanjian dan
e) Kesan sesuatu perjanjian kepada persejarahan negara

Selain itu terdapat satu aspek lagi yang tidak kurang pentingnya untuk diberi perhatian iaitu tempoh masa atau periodasi atau penzamanan dalam Sejarah. Peristiwa dan fakta Sejarah tidak boleh dipisahkan daripada tarikh. Tanpa tarikh sesuatu peristiwa sukar dibuktikan sebagai bersejarah. Kebenarannya sudah tentu dipersoalkan sebagaimana cerita mitos dan legenda. Memang diakui umum terdapat banyak tarikh dalam Sejarah. Tetapi perlu diingatkan bahawa, Kertas Sejarah PMR tidak pernah membebankan calon PMR dengan soalan berkaitan tarikh. Ingat tarikh bagi peristiwa penting sahaja. Jika tarikh sukar diingati, cuba ingat peristiwa tersebut sama ada berlaku di awal, pertengahan atau di akhir sesuatu kurun. Berikut ialah beberapa contoh perjanjian yang kerap ditanya dalam soalan Sejarah PMR.

( 6 ) Mengenalpasti Unsur Patriotisme, Nilai Murni dan Ikhtibar Dalam Sejarah

Mata pelajaran Sejarah penting untuk memupuk nilai bagi membentuk warga negara yang bertanggungjawab. Nilai politik, ekonomi, sosial dan intelektual yang terdapat dalam pendidikan Sejarah mampu mencorakkan perkembangan personaliti dan karisma seseorang murid. Soalan Sejarah PMR mengemukakan soalan nilai dan ikhtibar daripada peristiwa bersejarah. Soalan ini menggalakkan calon PMR berfikir dan membuat keputusan sendiri berdasarkan fakta Sejarah yang dipelajari. Contohnya:

‘Penubuhan pasukan ‘Home Guard’ telah meniupkan semangat yang berkobar-kobar di kalangan rakyat untuk mempertahankan negara. Kesanggupan dan keberianian orang Melayu melawan pengganas secara berhadapan amat mengagumkan Pesuruhjaya Tinggi British pada masa itu.’

Tujuan penting peperiksaan ialah untuk mendapatkan maklumat pencapaian calon. Kategori soalan yang dikemukakan meliputi pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan menilai. Meskipun ada soalan nilai-nilai murni dan semangat patriotisme, calon mesti menguasai fakta sejarah di dalam buku teks kerana hampir keseluruhan soalan Kertas Sejarah PMR berpandukan buku teks.

Sebagai latihan dan persediaan peperiksaan PMR 2005, calon diminta merujuk buku teks Sejarah Tingkatan Satu, Tingkatan Dua dan Buku Teks Sejarah Tingkatan Tiga. Sila jawab Latihan Sejarah PMR berikut dan bandingkan jawapan calon dengan jawapan berdasarkan rujukan buku teks yang diberi. Akhir kata, Selamat Belajar.

Soalan Kemahiran Berfikir


Kementerian Pelajaran Malaysia telah memberikan banyak penekanan terhadap aspek Kemahiran Berfikir dalam semua mata pelajaran pada semua peringkat di sekolah. Pemikiran Kritis adalah pemikiran yang mahir dan bertanggungjawab memudahkan proses memberi pendapat, membuat anggaran, membuat kesimpulan atau keputusan dengan bijak secara kreatif melalui menjana minda. Kemahiran Berfikir merupakan asas dalam strategi membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Kemahiran Berfikir digunakan secara bersepadu dalam Buku Panduan Guru (BPG) untuk memandu guru dan murid memahami kandungan Buku Teks Sejarah Tingkatan III. Kemahiran ini digunakan oleh guru dan murid membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Yang disediakan dalam latihan.

Kemahiran Berfikir digunakan dalam semua soalan Sejarah PMR. Dalam soalan Sejarah, perkataan tertentu digunakan seperti mencirikan, membandingkan, membezakan, menghubungkaitkan dan frasa lain yang memberikan makna yang sama. Antara soalan Kemahiran Berfikir dalam Sejarah PMR

i. Mencirikan – mengenalpasti kriteria seperti ciri, sifat dan konsep sejarah
ii. Membanding dan membeza – mencari persamaan dan perbezaan berdasarkan kriteria seperti ciri sesuatu peristiwa sejarah
iii. Membuat urutan – menyusun maklumat fakta sejarah mengikut kronologi
iv. Menganalisis – memahami sesuatu konsep atau peristiwa serta mencari makna yang tersirat
v. Mengesan kecondongan – mengesan pandangan berdasarkan fakta sejarah yang sedia ada
vi. Menilai – membuat pertimbangan dari segi kebaikan dan keburukan berdasarkan bukti
vii. Membuat rumusan – membuat pernyataan berdasarkan pemerhatian yang lengkap
viii. Menghubungkait – membuat perkaitan dalam sesuatu peristiwa
ix. Meramal – menjangkakan sesuatu peristiwa berdasarkan pengalaman yang lalu atau situasi terkini

Contoh : Lihat kandungan teks di hlm. 94 – 103.

Persamaan dan Perbezaaan Antara rancangan Briggs dengan Perang Saraf

Persamaan
(a) Membanteras kegiatan pengganas komunis di Tanah Melayu
(b) Dilaksanakan semasa Darurat di Tanah Melayu
(c) Berjaya mencapai matlamat

Rancangan Briggs
Perbezaan
Perang Saraf
(a) 1950
Tarikh
(a) 1951
(b) Sir Harold Rowdon Briggs

Pengasas
(b) Sir Gerald Templer
(c) Menghalang bekalan makanan dan ubatan supaya tidak jatuh ketangan pengganas komunis

Matlamat penubuhan
(c) Menawan hati dan fikiran rakyat supaya menyokong kerajaan membanteras pengganas komunis
Menguntungkan kaum bukan Melayu – penempatan setinggan Cina secara bersistematik

Rumusan
Menguntungkan kaum bukan Melayu – Pemberian pelonggaran syarat kewarganegaraan kepada kaum bukan Melayu


(a) Menyoal punca sesuatu kejadian atau peristiwa sejarah

Pada tahun 1910 George Maxwell dilantik sebagai Penasihat British di Kedah.
Apakah puca konflik antara beliau dengan anggota Majlis Mesyuarat Negeri Kedah?

A Beliau menyingkirkan Tunku Mahmud
B Beliau memperkenalkan budaya Barat
C Beliau menubuhkan jawatankuasa pentadbiran
D Tunku Mahmud enggan menerima Penasihat British

(b) Menyoal mengenai kesan sesuatu peristiwa sejarah

Pada tahun 1819 Siam mengarahkan Kedah menyerang Perak.
Apakah kesan peristiwa tersebut kepada kerajaan Perak?

I Perak menjadi jajahan Siam
II Sultan Perak dipaksa turun takhta
III Perak menghantar bunga emas ke Siam setiap tahun
IV Perak membenarkan Siam memonopoli perdagangan bijih timah

A I dan II
B II dan III
C III dan IV
D I dan IV

(c) Menyoal mengenai ciri-ciri, matlamat dan tugas sesuatu perkara atau organisasi

Antara berikut yang manakah tugas Hakim Mahkamah Anak Negeri semasa Syarikat Borneo Utara British memerintah Sabah pada abad ke-19?

I Mengendalikan hukum adat
II Mengendalikan orang tempatan
III Menyelaraskan undang-undang Barat
IV Mengendalikan undang-undang sivil

A I dan II C III dan IV
B II dan III D I dan IV

(d) Menyoal mengenai sumbangan tokoh

Sir Gerald Templer

Apakah sumbangan tokoh di atas dalam sejarah Tanah Melayu?

I Memupuk perpaduan kaum
II Menentang ancaman komunis
III Menentang gagasan Malayan Union
IV Menyokong pembentukan Persekutuan Tanah Melayu

A I dan II
B II dan III
C III dan IV
D I dan IV

(e) Menyoal mengenai perjanjian penting dalam sejarah

Pada tahun 1879 – 1909 British menandatangani beberapa penjanjian dengan Siam. Mengapa?

A Memelihara kedaulatan Siam
B Membantu mengukuhkan pertahanan Siam
C Menghalang campur tangan kuasa Barat lain
D Menghalang peperangan antara Siam dengan Kedah

(f) Menyoal sesuatu peristiwa sejarah secara langsung

Apakah isu hangat dalam Persidangan Durbar Kedua di Kuala Lumpur pada tahun 1903?

A Kehilangan kuasa Residen
B Kemerdekaan Tanah Melayu
C Pengenalan syarat kerakyatan
D Pemusatan kuasa ditangan Residen Jeneral

(g) Menyoal persamaan atau perbezaan sesuatu peristiwa, tokoh, organisasi, judul karya sastera atau perkaitan sejarah.

· UNKO
· USNO
· Pasok Momogun.

Apakah persamaan pertubuhan di atas?

A Menyertai gerakan antipenyerahan
B Menggubal perlembagaan Malaysia
C Menentang pembentukan persekutuan Malaysia
D Muncul selepas pengumuman pembentukan Malaysia

PENGGUNAAN BPG DAN BUKU TEKS SEJARAH TINGKATAN III SECARA BERSEPADU
1. Latar belakang penulis (biografi)
2. Kepentingan penulisan
3. Pengalaman penulis (semasa menulis buku ini)
4. Sumber yang dirujuk
5. Respon murid terhadap bahan yang ditulis – korelasi
6. Kepentingan subjek
7. Aspek penting dalam buku teks
8. Aplikasi aras dalam HSP
9. Isu-isu semasa dan penyelesaian
10. Strategi penggunaan buku teks

- Guru mesti menguasai ilmu pedagogi Sejarah yang mantap seperti Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS), Kemahiran Berkir, Teori Kecerdasan Pelbagai dan kemahiran ICT
- KPS bertujuan mencapai tiga perkara dasar iaitu a) penjelasan sejarah b) pemahaman sejarah dan c) empati
- KPS merangkumi beberapa kemahiran seperti a) memahami kronologi b) meneroka bukti

c) membuat interpretasi d) membuat imaginasi e) membuat rasionalisasi
- Contoh yang dipilih : mana-mana bab dalam buku teks Sejarah Tingkatan III

11. Mengapa guru mesti menggunakan buku teks sebagai teras ?
12. Pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
13. Pengurusan dan pembahagian masa dalam pengajaran
14. Apakah ciri keistimewaan Buku Teks Sejarah Tingkatan III ?
15. Contoh P & P bagi topik tertentu ‘micro teaching’

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home