Setiap pelajar sudah tentu mempunyai strategi dan yang tersendiri untuk mengulangkaji pelajaran. Biasanya strategi seseorang pelajar tidak serupa dengan strategi pelajar yang lain. Ia bergantung kepada keupayaan individu, persekitaran, pengalaman calon menduduki ujian atau peperiksaan yang lalu dan sebagainya.
Teknik atau strategi yang terbaik ialah yang selesa, sesuai, semula jadi dan anda fikir berkesan dengan cara anda! Oleh itu para pelajar hanya perlu membina strategi mengulangkaji pelajaran Sejarah berdasarkan kepada faktor-faktor tersebut. Berikut adalah beberapa panduan atau teknik mengulangkaji mata pelajaran Sejarah bagi membantu para calon PMR 2009 membuat persediaan rapi.
- Mengetahui topik-topik penting
Calon perlu mengetahui beberapa maklumat penting mengenai topik-topik pelajaran Sejarah Tingkatan Satu, Tingkatan Dua dan Tingkatan Tiga semasa membuat ulangkaji. Calon perlu mengetahui ciri-ciri utama soalan kertas Sejarah PMR termasuklah masa ujian, bilangan soalan, format soalan, kod kertas, topik-topik penting yang kerap dikemukakan dalam peperiksaan dan sebagainya.
Jangan panik atau gementar jika calon belum mengulangkaji keseluruhan topik tersebut sepenuhnya. Lihat jadual yang disertakan di bawah ini sebagai panduan. Beri keutamaan kepada topik-topik penting yang menjadi minat anda dahulu.
Selalunya topik-topik penting akan diberi tumpuan semasa membuat ulangkaji. Kemudian diikuti dengan topik-topik yang lain. Buat ulangkaji dengan penuh minat dan ketekunan kerana minat dan ketekunan akan menyebabkan pembelajaran anda akan lebih tersusun! Dengan cara ini anda akan mengulangkaji topik-topik yang lebih sukar dan mencabar tanpa rasa bosan atau terpaksa.
Anda juga boleh membuat ulangkaji dan tumpuan yang lebih kepada topik-topik yang agak sukar dan mencabar dan mengurangkan penekanan kepada topik yang anda fikir lebih mudah dikuasai. Calon akan mengulangkaji dengan cekap dan seimbang bagi setiap topik untuk memperoleh hasil yang maksimum.
- Mengulangkaji secara sistematik dan kronologi
Peristiwa dan fakta sejarah biasanya disusun mengikut kronologi. Calon-calon perlu mengulangkaji tajuk-tajuk yang mempunyai fakta dan peristiwa yang terlalu padat mengikut susunan iaitu yang dahulu didahulukan, dan yang kemudian dikemudiankan. Ini untuk mengelakkan kekeliruan bagi mengingat fakta dan peristiwa penting.
- Pertarikhan dalam mata pelajaran Sejarah
Peristiwa dan fakta Sejarah memang tidak boleh dipisahkan dengan tarikh. Perlu diingat, soalan Sejarah PMR dan KBSM tidak begitu membebankan pelajar dengan begitu banyak tarikh yang perlu diingat atau dihafal. Memadailah dengan mengingat atau menghafal tarikh penting atau kurun itu sahaja. Jika tarikh itu kurang penting, cuba ingati peristiwa penting pada awal, pertengahan atau akhir kurun tersebut.
- Mengkaji perjanjian penting
Terdapat banyak perjanjian penting yang memberi kesan kepada perkembangan sejarah politik, ekonomi dan sosial negara kita. Setiap satu perjanjian mempunyai sebab mengapa ia dimetrikan. Setiap perjanjian juga mempunyai syarat-syarat atau isi yang berbeza dengan perjanjian yang lain. Malah lebih hebat lagi ia memberi implikasi yang bukan sedikit kepada negara kita. Antaranya ialah Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 atau Perjanjian London 1824.
Cuba fahami setiap perjanjian-perjanjian penting, faktor-faktor yang menyebabkan termeterainya sesuati perjanjian, isi-isi perjanjian dan kesan selepas perjanjian tersebut ditandatangani. Contoh perjanjian-perjanjian yang popular dan sering dikemukakan dalam peperiksaan PMR ialah:
- Perjanjian Inggeris - Belanda 1824
- Perjanjian Burney 1826
- Perjanjian Pangkor 1874
- Perjanjian Persekutuan 1896
- Perjanjian Bangkok 1909
- Perjanjian Persekutuan 1966 dan lain-lain.
- Sumbangan tokoh-tokoh penting tanah air
Cuba ulang kaji juga mengenai biografi tokoh-tokoh penting negara seperti Maharaja Abu Bakar, Dato' Onn bin Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak bin Hussein, Ibrahim Yaakob, Dr Burhanuddin Al Helmi, Ishak Haji Muhammad dan sebagainya. Fokuskan kejayaan utama dan sumbangan mereka kepada negara. Walau bagaimanapun bacalah juga butir-butir peribadi mereka, pendidikan, latar belakang dan gambar foto mereka yang terdapat di dalam buku teks untuk memudahkan pelajar mengecam wajah tokoh-tokoh tersebut.
- Bersedia dengan soalan berbentuk stimulus
Para pelajar diminta membiasakan diri dengan soalan berbentuk peta, pernyataan, petikan, carta, graf, gambarajah, puisi, gambar foto, ilustrasi, maklumat peristiwa, situasi, dialog, perbilangan jadual, senarai dan sebagainya. Pelajar yang telah membiasakan diri dengan bentuk soalan seperti ini semasa membuat ulangkaji akan lebih menguasai sesuatu tajuk dengan cepat dan cekap.
Pelajaran Sejarah tidak pernah membebankan pelajar dengan sesuatu yang terlalu mencabar hingga susah dicapai oleh kebanyakan pelajar. Apa yang penting, pelajar memahami sesuatu peristiwa sejarah itu sendiri. Pelajar yang asyik membaca tetapi masih kabur dan tidak memahami topik yang dibaca perlu mengambil langkah berikut:
- membaca teks buku rujukan
- menggariskan fakta yang dianggap penting
- membaca sambil mencatat nota
Cara pertama memakan masa lebih-lebih lagi kalau buku rujukan terlalu tebal dan pelajar mungkin mengalami kesusahan untuk menghabiskannya. Oleh itu pelajar perlu bersedia sejak awal lagi.
Teknik kedua juga lebih berkesan asalkan pelajar tidak terlalu cenderung untuk menggaris sehingga semua perkataan di dalam teks turut digaris!
Cara ketiga paling berkesan kerana nota yang dibuat adalah ringkas dan dianggap penting. Cara ini menjimatkan masa dan tenaga kerana pelajar yang kurang memahami sesuatu maklumat penting akan membaca teks asal semasa mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan.
Calon PMR yang gemar menjawab soalan-soalan PMR Sejarah yang lalu akan lebih bersedia, lebih yakin, lebih bersemangat dan meramal bentuk atau format soalan akan datang. Mengetahui contoh-contoh soalan tahun lepas sangat berguna kepada calon. Ia memberi gambaran bagaimana sesuatu soalan dikemukakan, bilangannya, taburannya dan kekerapan setiap topik disoal.
Ini diakui ramai guru-guru Sejarah kerana Lembaga Peperiksaan sendiri sering mengeluarkan laporan analisis jawapan calon-calon PMR beberapa tahun lalu pada setiap tahun. Daripada analisis laporan tersebut para guru boleh mengetahui kelemahan yang dilakukan oleh setiap calon tahun lepas. Dengan cara inilah calon dapat membaiki kelemahan dan membaiki kelemahan tersebut semasa membuat ulangkaji.
Guna soalan ramalan bukan untuk meneka atau meramal soalan yang akan keluar. Soalan ramalan digunakan untuk membuat latihan dan menguji keupayaan calon sahaja. Jika soalan ramalan yang anda jawab itu keluar, anggaplah ia kebetulan atau sebagai bonus sahaja. Ini disebabkan soalan ramalan memang diragui ketepatannya. Jadi jangan terlalu percaya kepada soalan ramalan hingga tidak mahu mengulangkaji pelajaran.
- Meneka jawapan dalam peperiksaan
Boleh, jika calon tidak pernah menduga atau calon benar-benar tidak tahu soalan dan mengganggu jawapan yang dikemukakan. Bagaimanapun anda harus meneka secara bijak iaitu dengan membuat pilihan yang anda pasti betul dan membuang pilihan yang sudah pasti salah. Kemudian pilih jawapan yang paling tepat sehaja daripada pilihan jawapan yang tinggal. Lebih baik meneka daripada tidak menjawab langsung!
Selalulah mencuba membuat latihan sendiri di rumah semasa membuat ulangkaji untuk menilai kelemahan diri sendiri di samping membuat latihan atau ujian yang diberikan oleh guru Sejarah anda di kelas. Apa yang penting ialah para pelajar harus mencuba dan terus mencuba latihan yang dibuat sendiri tanpa perasaan jemu atau terpaksa! Akhirnya, ia akan menjadi satu kebiasaan belajar yang berkesan.
Kebiasaan menjawab sesuatu latihan akan menjadikan seseorang pelajar menjadi mahir dalam topik yang disoal atau dikemukakan. Jika pelajar mengamalkannya maka pelajar kurang menghadapi masalah dalam pelajaran tersebut. Ia bukan sahaja memudahkan pelajar mengingat sesuatu fakta sejarah bahkan sentiasa berusaha untuk menjawab soalan yang lebih mencabar.
- Habiskan ulang kaji sebelum bulan Ogos
Anda mesti menghabiskan ulangkaji topik-topik penting mata pelajaran Sejarah sebelum atau pada bulan Ogos untuk memudahkan anda membuat latihan pelajaran lain juga. Jadi, pelajar harus mengisi masa yang terluang untuk membuat ulangkaji. Ingat, calon perlu mengasah kemahiran sendiri dengan menjawab soalan peperiksaan yang banyak demi kejayaan dan kecemerlangan pencapaian semua mata pelajaran yang diambil dengan seimbang. Calon bukan berhadapan dengan kertas mata pelajaran Sejarah sahaja. Pelajaran lain juga perlu masa belajar yang seimbang.
- Minat terhadap mata pelajaran Sejarah
Minat merupakan pendorong kuat yang dapat menggalakkan ke arah kejayaan bagi merangsang calon untuk terus belajar. Sebenarnya, ada beberapa cara yang boleh membantu calon meminati pelajaran Sejarah. Antaranya anda perlu mengingati nama-nama tokoh (negarawan) sebagaimana anda mengingati nama-nama jaguh sukan negara. Anda juga boleh memgembangkan aspek-aspek yang digemari atau disukai dalam kehidupan pelajar dengan mata pelajaran Sejarah. Sekiranya anda ingin menjadi seorang peguam, mata pelajaran Sejarah amat penting untuk membolehkan anda mencapai cita-cita tersebut.
Seterusnya, untuk memperkembangkan minat terhadap pelajaran Sejarah, anda perlu meluangkan masa menonton filem-filem sejarah, mengunjungi pameran bercorak sejarah dan membuat perkaitan pendidikan Sejarah dengan kehidupan pelajar. Contohnya bila anda melihat Masjid Negara, anda dapat membayangkan fakta sejarah agama Islam adalah agama rasmi negara kita. Begitu juga dengan melihat gambar bangunan Parlimen, anda boleh membuat interpretasi negara kita mengamalkan pemerintahan demokrasi berparlimen. Dengan melawat Tugu Negara anda pernah mempelajari pahlawan kita yang terkorban kerana melawan komunis semasa darurat dan sebagainya. Ingat!
- Sesuatu subjek yang diminati lebih mudah diingati.
- Minat boleh dibina dengan mencari serta memperkembangkan aspek yang digemari atau disukai.
- Minat, kegemaran dan kemajuan saling dipadankan dengan cita-cita akan membantu kecemerlangan.
- Minat membantu anda memaksa diri untuk berjaya !
Dipetik dari: http://www.tm.net.my/edu/tmsol/pmr/sejarah/sejarah140.htm
Semoga Berjaya !!!
Labels: Tips Belajar Sejarah - Skor A
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home