ASOKA
Pemerintahan 273-232 SM. Pertabalan 270 SM. Nama penuh Ashoka Bindusara Maurya.
Gelaran Samrat. Gelaran lain termasuk Devanampriya Priyadarsi, Dhammarakhit, Dharmarajika, Dhammarajika, Dhammaradnya, Chakravartin, Samrat, Radnyashreshtha, Magadhrajshretha, Magadharajan, Bhupatin, Mauryaraja, Aryashok, Dharmashok, Dhammashok, Asokvadhhan , Ashokavardhan, Prajapita,Dhammanayak dan Dharmanayak.
Lahir pada 304 SM di Pataliputra, Patna. Mangkat pada 232 BC (usia 72) di Pataliputra, Patna. Dikebumikan dengan abu direndam ke dalam Sungai Ganges, mungkin di Varanasi.
Isteri bernama Rani Tishyaraksha, Rani Padmavati dan Rani Kaurwaki. Anakanda bernama Mahendra, Sanghamitra,Teevala dan Kunala. Kerabat diraja Dinasti Maurya. Ayahanda bernama Bindusara dan bonda bernama Rani Dharma atau Shubhadrangi.
Asoka (Devanāgarī: अशोक, IAST: Aśoka, IPA: [aˈɕoːkə], 304–232 SM), lebih dikenali sebagai Asoka Agung, ialah maharaja dari Dinasti Maurya di India yang memerintah hampir seluruh subbenua India dari 269 SM hingga 232 SM. Salah satu maharaja India yang teragung, baginda memerintah hampir seluruh wilayah India kini selepas sebilangan kejayaan ketenteraan. Empayarnya terbentang dari Pakistan kini dan Afghanistan di barat sehingga Assam di timur, dan Kerala utara serta Andhra di selatan. Asoka juga menewaskan kerajaan Kalinga yang tidak pernah ditewaskan oleh mana-mana satu maharaja dinastinya, mulai dari zaman Chandragupta Maurya. Pemerintahannya berpusat di Magadha (Bihar kini, India).
Seorang penganut tradisi Veda, agama yang dianuti secara meluas sewaktu itu, Asoka kemudian memeluk agama Buddha selepas menyaksikan kematian besar-besaran dalam perang Kalinga, suatu perang yang dimulakannya sendiri atas keinginan untuk mencapai penaklukan. Baginda seterusnya mengabdikan hidupnya dalam penyebaran agama Buddha ke seluruh Asia dan membina tugu peringatan untuk menandakan sebilangan tapak yang penting dalam kehidupan Gautama Buddha. Asoka mengamalkan ahimsa (ketakganasan), kasih sayang, kebenaran, toleransi, dan vegetarianisme, dan dikenangi dalam sejarah sebagai seorang pentadbir kedermawanan. Dalam sejarah India, baginda digelar sebagai Samraat Chakravartin Asoka, iaitu Maharaja antara Maharaja Asoka.
Nama baginda, "aśoka" bererti "tanpa kesedihan" dalam bahasa Sanskrit (a = tiada/tanpa, soka = kesedihan atau kerisauan). Dalam ediknya, Asoka digelar sebagai Devānāmpriya (Devanāgarī: देवानांप्रिय)/Devānaṃpiya atau "Yang Disayangi oleh Dewa-dewa", dan Priyadarśin (Devanāgarī: प्रियदर्शी)/Piyadassī atau "Dia yang menyayangi setiap orang". Satu lagi gelarannya ialah Dhamma (prakrit: धम्मः), "Sah, Warak, Salih".
H. G. Wells, penulis dan pengkritik sosial British yang terkenal, dalam The Outline of History (1920), karya dua jilidnya yang terlaris, menulis tentang maharaja Asoka:
Dalam sejarah dunia, terdapat ribuan raja dan maharaja yang menggelar diri mereka sebagai 'Duli Yang Teramat Mulia,' 'Duli Yang Maha Mulia,' dan seterusnya. Mereka terserlah sebentar, lalu hilang dengan secepatnya. Tetapi Asoka terserlah dan terserlah dengan jelas seperti bintang terang sehingga hari ini.
Selain daripada Edik Asoka, legenda Asoka juga diceritakan dalam Aśokāvadāna ("Naratif Asoka") dan Divyāvadāna ("Naratif Ketuhanan") akhir abad ke-2, serta teks Sri Lanka Mahavamsa ("Babad Agung").
Selepas dua ribu tahun, pengaruh Asia masih dapat dlihat di Asia, terutamanya di subbenua India. Sebuah lambang yang digali dari empayarnya kini merupakan Lambang India kebangsaan. Dalam Sejarah agama Buddha, Asoka dianggap sebagai tokoh kedua terpenting selepas Gautama Buddha.
Sumber rujukan asal:
http://ms.wikipedia.org/wiki/Asoka
Labels: Info Sejarah