CikguAdies@CikguSejarah

Blog ini didedikasikan kepada semua pelajar, guru, komuniti dan sesiapa sahaja yang inginkan kelainan dalam PdPc SEJARAH. Manfaatkan blog ini demi kecemerlangan bersama ...! CikguAdies Pencinta Sejarah@ GURU CEMERLANG SEJARAH KUALA LUMPUR.

Monday, May 11, 2009

James Brooke - Raja Putih Sarawak

James Brooke adalah merupakan seorang bekas tentera yang pernah berkhidmat dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI).

Selepas bersara daripada SHTI, beliau bergiat aktif dalam aktiviti perdagangan di Singapura.

Beliau telah diarahkan oleh Gabenor Singapura untuk menghantar sepucuk surat kepada Pengeran Muda Hashim di Kuching pada 1840.

Namun, keadaan di Kuching agak gawat pada ketika itu dengan pemberontakan oleh pembesar dan penduduk tempatan yang diketuai oleh Datu Patinggi Ali terhadap ketidakpuasan hati kekuasaan Kesultanan Brunei ke atas wilayah Sarawak ketika itu.

Pangeran Muda Hashim telah meminta bantuan James Brooke untuk mengekang pemberontakan tersebut dengan janji bahawa beliau akan ditawarkan jawatan gabenor jika berjaya.

James Brooke akhirnya berjaya menghapuskan pemberontakan dan dilantik sebagai Gabenor Sarawak pada tahun 1841. Beliau kemudiannya menjadi Raja Putih Sarawak sehingga 1868 yang kemudiannya digantikan oleh waris keluarganya iaitu Charles Brooke dan Charles Vyner Brooke.

Dinasti pemerintahan keluarga Brooke berakhir sebaik Sarawak diserahkan kepada British sebagai sebuah tanah jajahan sebaik tamat Perang Dunia Kedua pada tahun 1946.

Bahan Diambil Daripada: http://sejarah2u.blogspot.com/2009_04_01_archive.html

Labels:

Tuesday, January 27, 2009

Link Tokoh-Tokoh Sejarah Yang Berpengaruh Di Dunia

Tokoh-Tokoh Dunia

100 Tokoh Paling Berpengaruh Dunia

Tokoh-Tokoh Malaysia

Labels:

Abdul Al-Rahman Ibn Muhammad Ibn Khaldun (Ibn Khaldun)

Tokoh Abd Al-Rahman Ibn Muhammad Ibn Khaldun (عبد الرحمن بن محمد بن خلدون الحضرمي) ataupun lebih dikenali dengan Ibn Khaldun merupakan salah seorang pakar sains Islam yang hidup antara tahun 1332 - 1395.

Nama penuhnya adalah Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Abi Bakr Muhammad ibn al-Hasan Ibn Khaldun lahir pada 27 Mei 1332 di Tunisia dan meninggal 17 Mac 1406 di Kaherah, Mesir.

Keluarga Ibn Khaldun merupakan orang berada yang memberikan pendidikan terbaik kepadanya. Ibn Khaldun merupakan salah seorang pakar sejarah Arab teragung, juga dikenali sebagai bapa kepada sejarah kebudayaan dan sains sosial moden. Ibn Khaldun turut mengembangkan falsafah tidak berasaskan keagamaan paling awal, terkandung dalam karyanya Muqaddimah (“Pengenalan”). Ibn Khaldun juga menulis sejarah Muslim di Afrika Utara yang terulung.

Ibn Khaldun menjawat beberapa jawatan di bawah pemerintah Tinisia dan Morocco dan pada tahun 1363 bertindak sebagai duta raja Moor di Granada, kepada Pedro Kejam Castile "the Cruel of Castile".

Ibn Khaldun belayar ke Alexandria pada Oktober 1382, dimana beliau menghabiskan riwayatnya sebagai guru dan pensyarah di Al-Azhar dan universiti lain. Ibn Khaldun juga pernah dilantik sebagai Hakim Diraja oleh Sultan Abul Abbas, Cairo dan mengerjakan haji pada 1387.

Ibn Khaldun menyertai orang-orang Mesir dalam kempen mereka memerangi Tamerlane, pemerintah Mongol, dan bertanggung jawab mengatur penyerahan diri bandar Damsyik semasa ketiadaan Sultan Faraj.

Karya teragungnya bermula sebagai penulisan mengenai sejarah orang-orang Arab dan Barber, tetapi mengandungi pendekatan saintifik mengenai pemahaman sejarah, politik, dan ekonomi. Ibn Khaldun juga mempercayai bahawa perkara yang di kurniakan Allah boleh dibuktikan secara empirikal.

Ibn Khaldun juga memajukan konsep ekonomi, perdagangan dan kebebasan. Ibn Khaldun membangunkan idea bahawa tugas kerajaan hanya terhad kepada mempertahankan rakyatnya dari keganasan, melindungi harta persendirian, menghalang penipuan dalam perdagangan, mencetak dan menguruskan penghasilan wang, dan melaksanakan kepimpinan politik bijaksana dengan perpaduan sosial dan kuasa tanpa paksaan.

Dalam segi ekonomi, Ibn Khaldun memajukan teori nilai dan hubungkaitnya dengan tenaga buruh, memperkenalkan pembahagian tenaga kerja, menyokong pasaran terbuka, menyedari kesan dinamik permintaan dan bekalan keatas harga dan keuntungan, menolak cukai yang tinggi, menyokong perdagangan bebas dengan orang asing, dan percaya kepada kebebasan memilih bagi membenarkan rakyat bekerja keras untuk diri mereka sendiri.

Tambahan lagi, Ibn Khaldun terkenal kerana hasil kerjanya dalam sosiologi, astronomi, numerologi, kimia, dan sejarah. Secara berseorangan, Ibn Khaldun telah meletakkan titik mula bagi tradisi intelelek pemikiran bebas Islam dan Arab, kerajaan bertanggung jawab, pasaran efficent, penyiasatan sains empirikal, pengkajian sosialogi, dan penyelidikan sejarah.

"Sesiapa jua yang mengambil harta orang lain, atau menggunakannya untuk kerja paksa, atau membuat tuduhan yang tidak wajar hendaklah ingat bahawa ini adalah apa yang Pemberi Hukum maksudkan apabila melarang ketidakadilan."
- Ibn Khaldun

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Ibn_Khaldun

Labels:

Maharaja Meiji


Maklumat Penting Maharaja Meiji:

* Maharaja Meiji 明治天皇
* Maharaja Jepun
* Pemerintahan - 3 Februari 1867 hingga 30 Julai 1912
* Pertabalan pada 3 Februari 1867
* Lahir pada 3 November, 1852
* Mangkat pada 30 Julai, 1912
* Maharaja terdahulu ialah Maharaja Kōmei
* Pengganti baginda ialah Maharaja Taishō
* Pasangan - Maharani Shōken
* Anakanda bernama Putera Raja Yoshihito, Puteri Masako, Puteri Fusako, Puteri Nobuko, Puteri Toshiko
* Kerabat diraja - Istana Diraja Jepun
* Ayahanda - Maharaja Kōmei
* Bonda - Nakayama Yoshiko


Maharaja Meiji (明治天皇, Meiji-tennō?) (3 November 1852 — 30 Julai 1912) ialah Maharaja Jepun yang ke-122 menurut susunan pewarisan takhta tradisional, memerintah sejak 3 Februari 1867 sehingga hari kemangkatan baginda.

Nama diri baginda ialah Mutsuhito (睦仁, Mutsuhito?). Sepertilah maharaja-maharaja sebelumnya, baginda dikenali dengan nama posthumus selepas mangkat. Selepas kemangkatan baginda bermulanya satu tradisi baru iaitu memberikan zaman pemerintahan mendiang maharaja kepada baginda setelah mangkat. Oleh sebab memerintah ketika zaman Meiji (Pemerintahan kesedaran), baginda kini dikenali sebagai Maharaja Meiji. Meskipun kadang-kadang dipanggil Mutsuhito atau Maharaja Mutsuhito di luar Jepun, maharaja-maharaja Jepun hanya digelar dengan nama posthumus mereka di Jepun. Penggunaan nama diri maharaja itu boleh dianggap kurang sopan.

Ketika keputeraan baginda pada tahun 1852, Jepun merupakan sebuah negara yang terpencil, belum berindustri dan feudal yang didominasi Syogun Tokugawa dan daimyo yang memerintah lebih 250 kawasan terpencar di negara. Apabila baginda mangkat pada tahun 1912, Jepun sudah melalui revolusi politik, sosial, dan perindustrian dalam negara (Lihat Pemulihan Meiji) dan timbul sebagai salah sebuah kuasa besar di pentas dunia.

Garis masa peristiwa-peristiwa sepanjang riwayat dan pemerintahan Maharaja Meiji


Riwayat dan pemerintahan Meiji mengundang banyak perubahan besar kepada masyarakat feudal Jepun. Berikut adalah garis masa peristiwa-peristiwa utama:

* 3 November 1852: Meiji (ketika itu dikenali sebagai Sachinomiya) dilahirkan oleh gundik diraja Nakayama Yoshiko bersama Maharaja Komei

* 1853: Searmada kapal di bawah pimpinan Laksamana Pertama Matthew Perry tiba di Jepun pada 8 Julai; dianggap sebagai "Pembukaan" Jepun. Kematian Syogun.

* 1854–55: Penandatanganan perjanjian bersama Amerika Syarikat oleh Bakufu.

* Akhir 1850-an–1860-an: Gerakan "sonno-joi" menjadi giat sepenuhnya.

* 1858: Penandatanganan perjanjian bersama Belanda, Empayar Rusia dan Great Britain oleh Bakufu.

* 1860:
o Mac: Tairo Ii Naosuke, dibunuh.
o 11 November: Sachinomiya secara rasminya diisytiharkan Putera Raja dan dikurniakan nama diri Mutsuhito.

* 1862: Peristiwa Namamugi

* 1864–65: Serangan Shimonoseki oelh kapal-kapal British, Amerika, Perancis dan Belanda; disusuli pertelingkahan antara pihak syogun dan Choshu.

* 1866: Kematian Syogun, Tokugawa Iemochi pada 29 Ogos; pelantikan Tokugawa Yoshinobu sebagai Syogun.

* 1867:
o 4 Januari: Pemulihan rasmi pemerintahan diraja; tamatnya pemerintahan syogun Tokugawa setelah 265 tahun
o 31 Januari: Kemangkatan Maharaja Komei akibat penyakit cacar berdarah, penaikan takhta Mutsuhito secara tidak rasmi.
o 12 September: Pertabalan rasmi Maharaja Meiji.
o 23 Oktober: Nengo ditukar ke tahun pertama Meiji.
o 6 November: Ibu negara berpindah dari Kyoto ke Edo, dinamakan semula sebagai Tokyo.

* Akhir 1860-an–1881: Zaman pemberontakan dan pembunuhan di Jepun.

* 1869
o 11 Januari: Perkahwinan Meiji ke Ichijo Haruko yang mulai saat itu bergelar Maharani Shoken.
o 4 September: Meiji menyambut Duke Edinburgh.

* 1871: Pemansuhan kawasan han diisytiharkan.

* 1873: Istana Edo ranap akibat kebakaran; maharaja berpindah ke Istana Akasaka. Putera-puteri sulung baginda lahir tanpa nyawa.

* 1877: Pemberontakan Satsuma

* 1878: Pembunuhan Okubo Toshimichi.

* 31 Ogos 1879: Kelahiran Putera Yoshihito, putera tunggal Meiji yang bakal menjadi Maharaja Taisho.

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Maharaja_Meiji

Labels:

Tomoyuki Yamashita, Jeneral


Jeneral Tomoyuki Yamashita (kiri) bersama Mejar Polis Tentera Mejar Kenworthy (kanan) in Manila, 1945


Jeneral Yamashita semasa Perbicaraan


Lt Jen Yamashita (duduk, tengah) menumbuk meja dengan tangannya untuk memaksa Panglima British Lt Jen Percival untuk menyerah kalah. (Foto Imperial War Museum).




Jeneral Tomoyuki Yamashita (山下 奉文 Yamashita Tomoyuki) (8 November 1885 – 23 Februari 1946) adalah seorang Jeneral Tentera Imperial Jepun semasa Perang Dunia II. Dia paling dikenali kerana berjaya memimpin Ketumbukan Ke-25 Tentera Jepun semasa kempen penaklukan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura. Kerana kejayaan ini, Yamashita menerima jolokan “Harimau Malaya”.

Biografi

Yamashita dilahirkan di sebuah perkampungan kecil bernama Osugi Mura di Pulau Shikoku pada 8 November 1885. Selepas lulus dari Akademi Kadet dalam tahun 1905, Yamashita menghadiri Maktab Peperangan Tentera Darat (Army War College (Japan)) dalam tahun 1913 hingga tahun 1916. Dalam tahun-tahun 1919 hingga 1922, Yamashita ditugaskan sebagai Atase Pertahanan di Berlin, Jerman dan di Bern, Switzerland.
Lt Jen Yamashita (duduk, tengah) menumbuk meja dengan tangannya untuk memaksa Panglima British Lt Jen Percival untuk menyerah kalah. (Foto Imperial War Museum).

Walaupun dia berkebolehan, Yamashita tidak disenangi oleh pucuk pimpinan Tentera kerana penglibatan beliau dalam kumpulan pendesak dalam tahun 1920-an dan 1930-an. Yamashita berselisihan faham dengan Menteri Perang (Menteri Pertahanan) Hideki Tojo yang memimpin kumpulan "Control Faction" yang menjadi saingan utama kepada kumpulan "Imperial Way" yang menjadi ikutan Yamashita.

Yamashita juga tidak disukai oleh Maharaja Showa kerana telah membuat rayuan belas kasihan daripada Maharaja ke atas kumpulan pegawai yang memberontak dalam Kejadian 26 Februari 1936 (Pemberontakan Pegawai-Pegawai Muda). Yamashita juga mendesak supaya Jepun meninggalkan wilayah China dan untuk mengadakan perhubungan baik dengan Amerika Syarikat dan Britain. Ini menyebabkan Yamashita tidak diambil peduli dan ditugaskan ke jawatan tidak penting dalam Tentera Kwangtung .

Dari tahun 1938 hingga 1940, Yamashita menjadi panglima Divisyen Ke-4 Infantri dan terlibat dalam operasi pembasmian pemberontakan di China yang menentang penjajahan Jepun. Dalam bulan Disember 1940, Yamashita dihantar menjalankan tugasan sulit ke Jerman dan Itali di mana dia berjumpa dengan Hitler dan Mussolini

Malaya dan Singapura: Pertempuran Malaya

Kempen Di Malaya berkesudahan dengan kekalahan Tentera British seramai lebih 130,000 orang oleh 30,000 orang askar Jepun dan menaikkan nama Yamashita

Pada 6 November 1941, Yamashita dilantik menjadi Panglima Ketumbukan ke-25 Tentera Jepun. Pada 8 Disember 1941, Yamashita melancarkan kempen untuk menakluk Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura daripada pangkalan-pangkalan di Indochina. Dalam kempen yang berkesudahan dengan kekalahan Tentera British seramai lebih 130,000 orang oleh 30,000 orang askar Jepun menaikkan nama Yamashita. Gambar Lt. Jen. A. E. Percival berjalan dengan bendera putih dipaparkan di seluruh dunia dan disifatkan oleh Winston Churchill sebagai kekalahan paling teruk dalam sejarah ketenteraan British. Kejayaan Yamashita membuatkannya diberikan gelaran “Harimau Malaya”.

Kempen penaklukan Semenanjung Tanah Melayu dan penaklukan Singapura diiringi oleh banyak kejadian kekejaman yang dilakukan oleh askar-askar Jepun seperti Pembunuhan beramai-ramai di Parit Sulong melibatkan ratusan askar Australia dan India yang cedera dibunuh oleh askar-askar dari Divisyen Pengawal Imperial Jepun, pembunuhan kakitangan dan pesakit di Hospital Tentera Alexandra, Pembunuhan beramai-ramai Sook Ching di mana lebih 5,000 orang awam berbangsa Cina dibunuh secara sistematik sebagai pembersihan elemen-elemen yang memusuhi Jepun di kalangan masyarakat tersebut. Penglibatan Yamashita di dalam perlaksanaan kekejaman ini masih menjadi bahan perbahasan.

Pad 17 Julai 1942, Yamashita dihantar dari Singapura ke Manchuria sebagai Panglima Ketumbukan Tentera Pertama, dan dengan ini terasing daripada sebahagian besar Perang Pasifik. Pengasingan Yamashita sekali lagi disebabkan oleh permusuhan Perdana Menteri Hideki Tojo, yang menggunakan kesilapan Yamashita semasa berucap di Singapura sebagai alasan pengasingannya. Yamashita tersilap cakap apabila memanggil rakyat di Singapura sebagai “rakyat empayar Jepun” sedangkan Kerajaan Jepun tidak menganggap rakyat jajahan takluknya sebagai rakyat Jepun dan tidak diberikan hak dan keistimewaan yang diberikan kepada rakyat Jepun..

Filipina

Dalam tahun 1944, apabila keadaan perang semakin getir di Jepun, Jeneral Yamashita dijadikan panglima Ketumbukan Tentera Ke-14 yang ditugaskan mempertahankan Filipina. Tentera Amerika Syarikat mendarat di Teluk Leyte 10 hari selepas ketibaan Yamashita di Manila. Pada 6 Januari 1945, ketumbukan tentera ke-6 Amerika Syarikat mendarat di Teluk Ligayen di Pulau Luzon

Yamashita memerintah 262,000 orang anggota tentera yang dibahagikan dalam 3 kumpulan pertahanan. Yamashita berusaha menyusun semula tenteranya tetapi terpaksa berundur dari Manila ke kawasan pergunungan di utara Luzon. Selepas berundur dari Manila, anggota Tentera Jepun membubuh lebih daripada 100,000 orang awam Filipina dalam Pembunuhan beramai-ramai Manila semasa peperangan sengit rumah ke rumah di antara tempoh 4 Februari 1945 hingga 3 Mac 1945.

Yamashita menggunakan taktik berlengah untuk mengekalkan pasukan tenteranya di Kiangan, sebahagian daripada Wilayah Ifugao sehingga 2 September 1945 apabila Jepun menyerah kalah. Tenteranya, kini berjumlah kurang daripada 50,000 orang menyerah kalah kepada Jeneral Arthur Percival (Panglima Markas Gerakan Tanah Melayu) dan Jonathan Wainwright (Panglima Tentera Amerika di Bataan semasa saat penyerahan kalah tahun 1942). Walaupun dia disangkakan akan melakukan Seppuku sebelum saat menyerah kalah, Yamashita sendiri tidak melakukan Seppuku dengan alasan “orang lain akan perlu bertanggungjawab”.

Perbicaraan dan Kontroversi

Daripada 29 Oktober 1945 hingga 7 Disember 1945, Suruhanjaya Tentera Amerika Syarikat membicarakan Jeneral Yamashita atas tuduhan jenayah perang berkaitan dengan Pembunuhan beramai-ramai Manila. Suruhanjaya tersebut mendapati Yamashita bersalah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Jeneral Yamashita. Ke sini menjadi duluan (precedent) berkenaan tanggungjawab pemerintah (command responsibility) dan prinsip ini dikenali dengan nama Standard Yamashita. Duluan ini disebut dalam perbicaraan ke atas Lt. William Calley atas tuduhan Pembunuhan Beramai-ramai di My Lai.

Kesahihan perbicaraan yang dibuat secara tergesa-gesa telah dipersoalkan oleh banyak pihak, kerana terdapat banyak bahan bukti yang menunjukkan kepada hakikat bahawa Yamashita tidak sedar akan kekejaman yang dilakukan oleh askar-askarnya, ataupun tidak berupaya mengawal sepenuhnya askar-askarnya disebabkan oleh gangguan komunikasi yang disebabkan oleh tindakan dan penyesakan oleh Tentera Amerika Syarikat semasa serangan mereka. Salah satu daripada kekejaman yang dituduhkan ke atas Yamashita terbukti dilakukan oleh sebuah unit yang telah ingkar perintah Yamashita untuk berundur.

Kekejaman lain juga cuba dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan ke atas Yamashita. Pembunuhan kakitangan dan pesakit di Hospital Tentera Alexandra dipertanggungjawabkan ke atas Yamashita sedangkan pegawai yang bertanggungjawab untuk kekejaman ini telah dihukum bunuh oleh Yamashita sebaik sahaja pembunuhan ini disampaikan kepada pengetahuan Yamashita. Di Filipina pula, pembunuhan beramai-ramai di Manila yang dilakukan oleh unit-unit Tentera Laut Imperial Jepun yang terkepung juga dipertanggungjawabkan kepada Yamashita sedangkan ia tidak ada kuasa ke atas unit-unit Tentera Laut.

Sesetengah pihak merumuskan bahawa dendam Jeneral Douglas MacArthur kerana penjajahan dan pendudukan Jepun di Filipina mendorong beliau untuk mengadakan perbicaraan dan seterusnya hukuman mati Yamashita secara terburu-buru seperti mana dilakukannya ke atas perbicaraan Jeneral Masaharu Homma (Panglima yang mengalahkannya semasa penaklukan Jepun dui Filipina dalam tahun 1942 yang menyebabkan MacArthur terpaksa melarikan diri ke Australia)

Semasa perbicaraan, tindakan dan kesungguhan usaha serta dedikasi peguambela yang ditugaskan membela Yamashita cukup mengkagumkan Yamashita dan memulihkan semula rasa hormatnya kepada bekas musuhnya. Peguam Amerika Harry E. Clarke, Sr., yang berkhidmat sebagai Kolonel Tentera Darat dan berkhidmat sebagai Ketua Peguambela Yamashita membawa rayuan kes Yamashita ke Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang mengesahkan dengan undi 7-2 keputusan Suruhanjaya Tentera tersebut. Selepas itu, Clarke membuat rayuan belas ihsan kepada Presiden Truman, yang enggan memberikan kelonggaran dan enggan meringankan hukuman ke atas Yamashita dan sebaliknya menyerahkan perkara hukuman Yamashita kepada pengurusan Tentera. Apabila sampai tempoh. Jeneral MacArthur mengesahkan hukuman yang dijatuhkan oleh Suruhanjaya Tentera dan pada 23 Februari 1946, Tomoyuki Yamashita menjalani hukuman gantung sampai mati di Penjara Los Banos.

Hidup Peribadi

Yamashita berkahwin dengan anak perempuan Jeneral Nagayama dalam tahun 1916. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata. Yamashita gemarkan memancing, muzik dan tidak pernah belajar memandu kereta. Sebaliknya, beliau lebih gemar menunggang kuda.

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Tomoyuki_Yamashita

Labels:

Hideki Tojo, Jeneral



Maklumat Penting Hideki Tojo:

* Perdana Menteri Jepun ke-40
* Tarikh berkhidmat dalam pejabat 18 Oktober 1941 – 22 Julai 1944
* Raja memerintah ialah Maharaja Showa
* Lahir pada 30 Disember 1884 di Tokyo, Jepun
* Meninggal pada Disember 23 1948 (umur 63 tahun) di Tokyo, Jepun
* Warganegara Jepun


Hideki Tojo (Kyūjitai: 東條 英機; Shinjitai: 東条 英機; Tōjō Hideki (bantuan·maklumat)) (30 Disember 1884 – 23 Disember 1948) ialah seorang Jeneral dalam Tentera Diraja Jepun dan juga Perdana Menteri Jepun yang ke-40 ketika kebanyakan tempoh Perang Dunia II, dari 18 Oktober 1941 hingga 22 Julai 1944. Tojo selaku salah seorang daripada ahli fikir nasionalisme dan juga penyokong perang terhadap China dan negara-negara lain itu dihukum mati kerana jenayah perang selepas tamatnya perang dan dihukum gantung selepas satu undian oleh hakim-hakim Tribunal Ketenteraan Antarabangsa Timur Jauh.

Pusaka

Makam peringatan Tojo terletak di sebuah kuil di Hazu, Aichi, dan beliau juga antara yang diabadikan dalam Kuil Yasukuni yang penuh kontroversi. Tojo meninggalkan sebilangan keturunannya, termasuk cuc perempuannya, Yuko Tojo, seorang aktivis sayap kanan dan calon harapan politik yang mendakwa bahawa perang Jepun merupakan perang pertahanan diri dan adalah tidak adil bagi datuknya untuk didapati sebagai seorang penjenayah perang Kelas A. Anak lelaki kedua Tojo, Teruo Tojo, yang mereka pesawat pejuang dan penumpang ketika dan selepas perang, kemudiannya berkhidmat sebagai seorang eksekutif di Mitsubishi Heavy Industries.

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Hideki_Tojo

Labels:

Wednesday, August 27, 2008

Mahsuri - Lagenda Langkawi








Mahsuri


Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas

Mahsuri binti Pandak Maya merupakan seorang gadis kelahiran Pulau Langkawi. Beliau dilahirkan oleh pasangan Pandak Maya dan Mak Andam pada penghujung kurun ke-18 Masihi di Kampung Ulu Melaka, Langkawi. Mahsuri turut digelar sebagai Puteri Mahsuri dan dengan jolokan Puteri Langkawi.

Kehidupan dan sejarah Mahsuri telah dilitupi lagenda pulau tersebut yang sememangnya terkenal dengan lagenda dan kisah rakyatnya. Kisah yang paling popular tentang kehidupan beliau adalah ketika saat akhir sebelum beliau dibunuh yang hingga kini dijadikan sebagai bahan untuk persembahan teater bangsawan hinggalah kepada cerita kanak-kanak.


Kehidupan

Menurut anggaran, kehidupan awal Mahsuri adalah ketika Langkawi di bawah pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah III (1778-1797) dan Sultan Ziyauddin Mukarram Shah II ibni al-Marhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muadzam Shah (1797-1803) iaitu ketika Pandak Maya baru sahaja berhijrah ke Langkawi.

Dikhabarkan bahawa pasangan Pandak Maya dan Mak Andam (ada menyatakan nama ibunya adalah Mak Endah Alang) datang dari Siam. Pandak Maya boleh dikatakan sabagai orang yang berada di Langkawi kerana mempunyai tanah sawah yang luas dan terlibat dengan perniagaan sarang Burung Layang-layang Padi.

Kelahiran Mahsuri turut dibayangi lagenda apabila sesetengah masyarakat percaya bahawa selepas ibunya (yang tidak pernah mempunyai anak) memakan kerak nasi yang dijumpai di sawah, akhirnya mengandung dan melahirkan seorang anak perempuan bernama Mahsuri. Kehidupan Mahsuri dikhabarkan adalah seperti anak gadis Melayu yang lain yang diasuh dengan tatasusila dan kesantunan masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun, dikatakan kejelitaan Mahsuri membawa kepada buah mulut dan kecemburuan masyarakat setempat terutamanya di kalangan kaum wanita.

Mahsuri dikahwinkan dengan seorang pemuda dan pahlawan tempatan iaitu Wan Derus, salah seorang anak kepada wakil Sultan di Langkawi, Wah Yahya (atau dengan gelaran Datuk Pekerma Jaya) dan Wan Mahura.

Fitnah

Ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II ibni al-Marhum Sultan Ziyauddin Mukarram Shah (1803-1843), hubungan Kedah-Siam menjadi keruh. Mahsuri hamil ketika Wan Derus keluar dari Langkawi (tidak diketahui tujuannya tetapi sumber menyatakan beliau berperang dengan tentera Siam di Kuala Kedah). Sepeninggalan beliau, Mahsuri dikhabarkan tinggal bersama ibu bapanya. Ketika waktu tersebut, Deramang, seorang penyair kembara (sesetengah sumber mengatakan beliau peniaga) singgah di Langkawi. Kebolehannya menambat hati penduduk Langkawi lalu dengan ehsan ibu bapa Mahsuri, Deramang tinggal di rumahnya untuk mengajarkan syair dan dendang.

Kepandaian Deramang dalam bersyair menaikkan nama Mahsuri sebagai tuan rumah dan menimbulkan kecemburuan Wan Mahura, ibu mertuanya sebagai isteri pembesar pulau Langkawi. Kelahiran anak Mahsuri, Wan Hakim, mencetuskan fitnah apabila Wan Mahura menuduh Mahsuri bermukah (melakukan hubungan sulit) dengan Deramang.

Atas sebab itu, Mahsuri dan Deramang ditahan dan dijatuhkan hukuman bunuh oleh bapa mertuanya sendiri setelah termakan hasutan isterinya. Tanpa menunggu Wan Derus pulang, Mahsuri dan Deramang di bawa ke Padang Matsirat, pusat Langkawi ketika itu, untuk dijatuhkan hukuman. Mahsuri diikat di sebuah batang pokok dan ditikam dengan tombak. Menurut lagenda, tombak yang digunakan tidak dapat menembusi tubuh Mahsuri. Akibat terseksa,Mahsuri mendedahkan bahawa dia hanya dapat ditikam dengan tombak sakti (terdapat pihak yang menyatakan bahawa senjata itu adalah keris) yang terdapat di alang rumahnya.

Kata-kata terakhir Mahsuri amatlah masyhur apabila ianya seringkali diulang dalam mana-mana persembahan. Ayat-ayat terakhir Mahsuri adalah berupa sumpahan untuk tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi kerana beliau mangsa fitnah dan mengutuk pulau Langkawi untuk tidak tenteram dan permai ibarat padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan.

Walaupun dipujuk dan dirayu ibu bapa Mahsuri, hukuman tetap dijalankan dan Mahsuri dibunuh tanpa dosa yang dituduh. Menurut lagenda, Mahsuri mengalirkan darah berwarna putih hanya kerana kata-katanya yang tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi. Deramang turut dibunuh kemudiannya walaupun bertindak ganas. Mahsuri dikebumikan oleh ibu bapanya bersebelahan dengan harta tebusan yang ingin digunakan untuk menebusnya. Mahsuri dikatakan meninggal pada tahun 1819 Masihi bersamaan 1235 Hijrah.

Sumpahan Mahsuri

Seminggu selepas Mahsuri dibunuh, Wan Derus pulang setelah Kedah gagal menewaskan Siam. Selepas mengetahui akan hakikat tentang isterinya, dia kecewa lalu membawa anaknya, Wan Hakim keluar dari Siam. Sejurus itu, tentera Siam menyerang pulau tersebut. Langkawi hancur dan hangus.

Datuk Pekerma Jaya melarikan diri bersama bersama orang kuatnya, Panglima Hitam. Malangnya, Datuk Pekerma Jaya ditangkap oleh tentera Siam di Sungai Langkanah dan diseksa serta dibunuh dengan kejam. Begitu juga dengan Wan Mahura yang dirogol dan disiksa tentera Siam. Anak mereka, Wan Muhamad Ali bergegas pulang dari Pulau Pinang untuk membalas dendam. Kejayaannya mendorong sultan melantiknya sebagai pengganti ayahnya. Walau bagaimanapun, pulau Langkawi tidak pernah makmur kerana kegiatan lanun dan jenayah yang teruk.

Penutup Sumpahan

Sebelum 1980-an, Langkawi memang tidak makmur hinggakan orang mengatakan yang kerbau lebih banyak berbanding manusia di sana. Ketika Tunku Abdul Rahman masih menjadi pegawai daerah, Tunku sentiasa melawat Langkawi tetapi tiada siapa yang tahu di mana tempat pengkebumian Mahsuri. Maka, Tunku mencari sehingga menemui sebuah kubur yang tersembunyi lalu dibinakan sebuah makam, yang dikenali sebagai Makam Mahsuri.

Menjelang 1980-an, Langkawi menjadi lebih makmur (satu daripadanya disebabkan kedatangan pekerja untuk membina makam Mahsuri). Ada yang menyatakan kemakmuran itu disebabkan lahirnya keturunan ketujuh Mahsuri (ada yang mengatakan kelapan) menamatkan segala sumpahan Mahsuri ke atas pulau Langkawi. Keturunan ketujuh Mahsuri iaitu Sirintra Yayee atau Nong May atau nama Melayunya, Wan Aishah binti Wan Nawawi menetap di pulau Phuket, Thailand ketika pertama kali dijejaki.

Kebetulan pula ketika itu, Langkawi menjadi pusat pelancongan dan jualan bebas cukai lalu menarik lebih ramai pengunjung ke pulau itu. Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir turut membantu mempromosikan Langkawi dengan menambahkan infrastruktur dan menjadikannya pusat pertunjukan seperti LIMA.

Lihat Juga

* Filem Sumpahan Mahsuri

Pautan Luar

* Salasilah Kerabat Diraja Kedah
* Kisah Mahsuri
* Temubual bersama Nong May, waris Mahsuri
* Kisah Mahsuri menurut versi Tunku.

Diambil daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Mahsuri"
Kategori: Sejarah Malaysia | Sumpahan

Labels:

Dato' Maharaja Lela


Dato Maharaja Lela

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Dato' Maharaja Lela Pandak Lam (meninggal dunia: 20 Januari 1877) ialah seorang pembesar kelapan Perak yang merupakan pejuang bangsa yang bertanggungjawab kepada sumpah dan janjinya tetapi dikecewakan oleh raja dan bangsanya sendiri.

Seorang keturunan Daeng Salili, Pandak Lam adalah anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III, beliau datang ke Perak dan dilantik sebagai mufti serta dianugerahkan gelaran "Dato' Maharaja Lela Tan Lela", dengan kuasa boleh memancung tanpa bertanya.

Pejuang bangsa

Pandak Lam kemudian merupakan pemimpin yang mengetuai perjuangan menentang British di Perak. Bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin yang lain seperti Orang Kaya-kaya Seri Agar Diraja (lebih dikenali sebagai Dato' Sagor) dan Ngah Kandin, beliau merancang dan membuat pakatan untuk membunuh James Wheller Woodfird Birch (J.W.W. Birch), Residen British Perak. Keputusan itu diluluskan oleh mesyuarat Durian Sebatang yang dipengerusikan oleh Sultan Abdullah dan dihadiri oleh pembesar-pembesarnya pada 21 Julai 1875. Namun, beliau didapati bersalah terhadap pembunuhan J.W.W. Birch pada 2 November 1875 di Pasir Salak oleh mahkamah yang bersidang dari 14 Disember hingga 22 Disember 1876 di Matang, Perak. Beliau dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 20 Januari 1877 di Taiping.

Rujukan

* Laman web Perpustakaan Negara Malaysia
* Pejabat DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan

Diambil daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Dato_Maharaja_Lela"
Kategori: Sejarah Malaysia | Pejuang anti-penjajah

Untuk maklumat lanjut layari web http://www.ctl.utm.my/merdeka/calon/merdeka24/maharaja_lela.html

Labels:

Dol Said - Pahlawan Naning

Dol Said

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas

Dato' Dol Said, atau Abdul Said (1773 - 1849), ialah Penghulu Naning yang kesembilan. Perang Naning pertama yang berlaku pada tahun 1831 menjadikan beliau seorang wira yang telah mengukir tempat di sejarah Melaka.

Pejuang bangsa

Daripada suku Semelenggang, Dol Said mewarisi Penghulu Anjak sebagai Penghulu Naning pada tahun 1799 ketika hanya berumur 26 tahun.

Pada tahun 1829, pemerintah British di Melaka memaksa Naning membayar cukai tanaman sebanyak 1/10 dari hasil perolehan. Dol Said membantah dan pada tahun 1831, Naning diserang oleh tentera British.

Dol Said mempertahankan Naning bersama penduduk tempatan tanpa menggunakan senjata moden tetapi hanya berbekalkan parang dan senjata tradisional.

Kejadian aneh

Ada kejadian aneh dan mistik yang diceritakan berlaku ketika tentera British cuba menjajah ibu kota Naning iaitu Taboh dengan menyerang pejuang Melayu, Dol Said serta pasukannya dalam Perang Naning Kedua 1832. Diceritakan apabila tentera penjajah cuba mendatangkan kerosakan di muka bumi Naning (kini kawasan Alor Gajah, Melaka), penduduk tempatan diketuai Penghulu Dol Said bangkit mempertahankan tanah air mereka bersama ribuan serangga Naning iaitu serangga yang seakan-akan penyengat besar.

Perang Naning

Dalam Perang Naning yang berlangsung selama 18 hari antara 6 Ogos dan 24 Ogos 1831, Dol Said telah berjaya menewaskan pihak British selepas mendapat sokongan orang Melayu sebanyak 1,000 orang.

British tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka dan kembali menyerang Naning pada bulan Februari 1832 dengan tentera yang lebih besar. Dol Said kehilangan ramai orang dan beliau terpaksa berundur ke Pasir Besar. Dalam tempoh empat bulan, Naning jatuh ke dalam tangan British pada 15 Jun 1832. Naning kemudiannya diletakkan di bawah peraturan Negeri-negeri Selat pada 27 Oktober 1832.

Dol Said meninggal dunia pada 1849 dan disemadikan di Tanah Perkuburan Taboh Naning.

Rujukan

* Laman web Perpustakaan Negara Malaysia
* Pejuang kemerdekaan: Dol Said

Diambil daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Dol_Said"
Kategori: Tokoh penentang penjajah Malaysia | Ahli politik Malaysia

Untuk maklumat lanjut layari web http://www.ctl.utm.my/merdeka/calon/merdeka24/dol_said.html

Labels:

Cerita Tok Janggut


Tok Janggut

Nama sebenarnya adalah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas. Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran.

Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan pemimpin tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala RM 1.00 seorang setahun, pokok buah-buahan 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung. Pada 29 April 1915, pentakbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff seorang pegawai tadbir British yang berasal dari luar Kelantan, menggantikan Engku Besar.

Pertelingkahan mengenai cukai dan urusan pengutipan cukai yang terlalu lambat sehingga berlarutan selama tiga hari, menyebabkan Haji Mat Hassan bin Panglima Munas enggan membayar cukai. Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib dan menemui Haji Mat Hassan bin Panglima Munas pada 29 April 1915.

Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh. Haji Mat Hassan
bin Panglima Munas kemudiannya menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915.

Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh. Kebangkitan Haji Mat Hassan bin Panglima Munas menyebabkan Sultan Kelantan yang memerintah pada masa itu merasa terancam dan menganggap Tok Janggut sebagai penderhaka dan dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Haji Mat Hassan bin Panglima
Munas telah terbunuh. Mayat Tok Janggut di bawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa satu hari.

Setelah digantung beberapa hari di hadapan istana, di Padang Bank (Padang Merdeka)
mayat Haji Mat Hassan bin Panglima Munas dikebumikan di Pasir Pekan.

Source : http://w3.spancity.com/yosri/DaftarT.htm

Labels:

Tok Janggut






Haji Hassan bin Panglima Mat Munas (Tok Janggut)

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas


Haji Hassan bin Panglima Mat Munas yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut kerana memelihara janggut ialah seorang penentang penjajahan British yang terbunuh semasa menentang pengenaan cukai oleh pihak British di Kelantan, Tanah Melayu. Beliau juga merupakan tokoh agama Islam yang menarik sokongan banyak pengikut di Kelantan.

Biografi ringkas

Tok Janggut mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Ada riwayat mennyatakan bahawa beliau adalah anak murid Tok Ku Paloh. Selepas Perjanjian Inggeris-Siam 1909, pihak British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah pengenaan cukai seperti berikut:

* cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setahun
* cukai pokok buah-buahan sebanyak 3 sen setahun
* kelapa sebanyak 3 sen setandan
* sireh sebanyak 5 sen sejunjung.

Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff, menggantikan Engku Besar. Keadaan bertambah buruk apabila Encik Latiff, pegawai pentadbiran British yang berasal daripada luar Kelantan menjalankan tugasnya dengan tegas, khususnya dalam hal pengutipan cukai.

Engku Besar membuat perundingan dengan Tok Janggut, Haji Said, Che Sahak dan Penghulu Adam, dan mereka bersama-sama memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan pihak British. Mereka mendapat sokongan sebilangan besar rakyat, dan ini membimbangkan Encik Latiff. Pada 29 April 1915, Encik Latiff mengarahkan sepasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib untuk bertemu dengan Tok Janggut Dalam satu perkelahian yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh.

Tok Janggut kemudian menghimpunkan pengikut-pengikutnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff melarikan diri ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh.

Kebangkitan Tok Janggut telah menyebabkan Sultan Kelantan berasa terancam dan menganggap Tok Janggut sebagai penderhaka. Dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tok Janggut dibunuh. Mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang menelan masa sehari. Mayat beliau digantung beberapa hari di depan istana di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.

Rujukan

* Laman web Perpustakaan Negara Malaysia

Lihat juga

* Perang Tok Janggut

Pautan luar

* (Melayu) Tok Janggut
* Gambar-gambar mengenai Tok Janggut. Tidak sesuai bagai mereka berusia bawah 15 tahun.

Diambil daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Haji_Hassan_bin_Panglima_Mat_Munas"
Kategori: Sejarah Malaysia | Tokoh penentang penjajah Malaysia | Ahli politik Malaysia

Labels: